Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim dan Mahathir Ali
KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Menteri Besar Pahang mewakili Kerajaan Pahang merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 hari ini.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan ucapan ringkas ini dalam satu ruangan selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan Titah DiRaja.

Beliau berkata Negeri Pahang merasa amat berbangga apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyempurnakan pelantikan berkenaan.
“Pelantikan ini amat membanggakan, terutamanya kepada kita di bumi Pahang. Dengan pelantikan ini, sudah tiga anak jati negeri diangkat menjadi Perdana Menteri, bermula dengan Allahyarham Tun Hj Abdul Razak Hussein pada tahun 1970 hingga 1976; anakandanya, Dato’ Sri Mohd Najib pada tahun 2009 hingga 2018 dan kini Dato’ Sri Ismail Sabri.
“Turut amat membanggakan ialah apabila pelantikan dan pengurniaan suratcara pelantikan beliau, disempurnakan pada petang Sabtu lepas, oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang,” katanya.
Menurut beliau lagi, pelantikan ini juga adalah bersesuaian dengan jawatan dan kelayakan akademik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri setelah melalui proses yang teliti dan menepati undang-undang.
“Pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri ke jawatan eksekutif tertinggi negara ini pula, ialah secara meteoric atau mendadak. Ini terutamanya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang pada 7 Julai, kepada Perdana Menteri pada 21 Ogos, atau dalam tempoh 45 hari sahaja.
“Inilah yang dikatakan pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Hanya Allah Subhanahu Wata‘ala sahaja yang menentukan segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan YAB Dato’ Sri IsmailSabri ini dilihat sesuai pada tempat dan masa atas pengalaman beliau.
“Menerusi jawatan-jawatan yang disandangnya di kementerian-kementerian berkenaan, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri tentunya cukup berpengalaman termasuklah pengalamannya mengendalikan isu wabak pandemik COVID-19.
“Daripada segi perjalanan politik khususnya UMNO, pengalamannya tidak boleh dinafikan. Beliau kini ialah Naib Presiden parti dan pernah seketika menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden parti,” katanya.
Beliau berharap semua pihak akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Dato’ Sri Ismail Sabri dalam memastikan beliau dapat menjalankan tugas dengan berkesan dan menangani pandemik COVID-19 dan sosioekonomi negara.
“Semoga dengan ucapan tahniah yang dilafaz dan direkodkan dalam persidangan Dewan yang mulia ini, dapat menjadi kebanggaan kita bersama, seterusnya memastikan kepemimpinan beliau menerajui Kerajaan Persekutuan, akan memberi impak sebaik-baiknya kepada negara dan juga negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA