Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

BERBAHAS SECARA RASIONAL, TERUS TUMPU USAHA BANTU RAKYAT – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 23 OGOS 2021 : Ahli Dewan Negeri diingatkan agar berbahas secara rasional dan berpegang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Baginda menasihatkan semua wakil rakyat agar berubah kepada politik yang lebih matang, jujur dan ikhlas dalam membantu rakyat dan memajukan negara.

“Suka saya ingatkan sekali lagi kepada wakil rakyat saya bahawa ini bukanlah masanya untuk kita berebut kuasa, bersengketa, banyak bicara tanpa berbuat apa-apa tetapi sebaliknya inilah masa untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan. Dalam keadaan wabak pandemik ini, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kita semua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar seluruh rakyat mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan diri seperti yang dianjurkan oleh kerajaan berikutan angka kes COVID-19 di negeri ini masih tinggi.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak pandemik covid-19 ini,” titah baginda.

Menyentuh soal kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik ini, baginda memberi pujian kepada usaha Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang telah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Saya kira bantuan kepada rakyat yang terkesan ini bukan sahaja datang daripada kerajaan saya semata-mata, malah turut tidak terkecuali badan korporat, persatuan, NGO serta individu yang berkemampuan tampil menghulurkan sumbangan.

“Seperti yang saya titahkan semasa sambutan Awal Muharam baru-baru ini, kita semua harus cakna kepada persekitaran dan kejiranan kita. Mungkin ada antara mereka yang baharu diberhentikan kerja, kehabisan bekalan makanan serta keperluan asas ataupun tidak mampu bayar sewa rumah, maka sebagai jiran tetangga bantulah sebaik dan seboleh yang kita mampu,” titah baginda.

Baginda bertitah, wabak pandemik ini seharusnya menjadikan semua individu lebih bersyukur dan membantu mereka yang memerlukan.

Dalam pada itu, baginda turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dengan harapan agar beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download