Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 21 OGOS 2021: Terpilih sebagai penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) menjadi rahmat dan diterima penuh rasa gembira dan syukur.
Bagi penerima RRP di Kampung Pulau Keladi, Puan Nurul Suhada Ramli, 34, berkata dia dan suami tidak perlu lagi memikirkan sewa rumah atau pun menumpang di rumah sesiapa.

Sebelum ini mereka perlu menyewa dan menumpang di rumah saudara, tetapi kini tidak lagi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib rakyat mereka sekaligus memberi peluang untuk mengubah kehidupan ke arah lebih sempurna.
“Saya bersama suami, Ahmad Zaki Mohd Habil Noor, 34, serta tiga orang anak sebelum ini tinggal di rumah sewa sebanyak dua kali. Suami bekerja di kedai perkakasan di bandar Pekan sementara saya suri rumahtangga sepenuh masa.
“Saya rasa amat bersyukur dan gembira kerana hidup kami kini jauh lebih selesa. Tak perlu fikir sewa rumah lagi, cuma perlu bayar bil air dan elektrik sahaja.
Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, YB Bebar serta semua pihak yang prihatin dengan kehidupan rakyat yang memerlukan. Rezeki (rumah) ini benar-benar kami syukuri,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Sementara itu, dia yang sedang hamil anak keempat berkata, rumah yang diterima akan dijaga dengan baik kerana ia lambang keprihatinan kerajaan negeri kepada mereka sekeluarga.
“Kami bahagia kerana mampu menjalani kehidupan di rumah sendiri dan ia jauh lebih selesa daripada menyewa dan menumpang seperti sebelum ini.
“Sudah hampir dua bulan duduk di rumah ini dan terasa seperti dapat kehidupan yang baru bersama suami dan anak-anak,” katanya. – PAHANGMEDIA