Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 12 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang akan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada individu yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perladangan dan Komiditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata Kerajaan Pahang telah membincangkan perkara ini di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.
“Semalam kita berbincang di dalam mesyuarat exco tentang SOP (prosedur operasi standard) baharu yang telah diumumkan oleh Kerajaan, iaitu mereka membenarkan kepada individu yang datang daripada luar negara sama ada dia rakyat Malaysia, terutama sekali rakyat Malaysia yang balik, mereka membenarkan untuk kuarantin di rumah.
“Jadi semalam kita dah maklumkan kepads YAB Menteri Besar dan beliau akan bawa kepada mesyuarat MKN supaya dikaji semula kerana kita bimbang sekarang ini banyak terdapat new variant ini seperti Lambda, Delta Plus, yang mana dia ni sebenarnya berasal dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID -19 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), di Janda Baik.

Turut hadir Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; dan Pegawai Tourism Malaysia Wilayah Timur, Encik Hafiz Hazin.
Beliau berkata keputusan ini diambil berikutan kebimbangan tahap pematuhan kuarantin kendiri yang dijalankan oleh individu terlibat.
“Sekarang kita bimbang kalau sekiranya Kerajaan tidak ambil inisiatif untuk pastikan mereka yang pulang daripada luar negara ini atau datang dari luar negara ini, akan kuarantin 14 hari seperti SOP yang telah ditetapkan.
“Jika mereka dibenarkan (kuarantin kendiri), saya sangat curigalah. Atau pun kita bimbang sebab bila kurantin di rumah ni, bukan sahaja orang di rumah sahaja yang kena, kita tak tahu kuarantin di rumah, mereka tak pakai gelang pink.
“Alangkan orang pakai gelang pink pun dia pergi merayap merata, inikan pula tak pakai (gelang kuarantin). Mereka merasakan mereka sihat tetapi sebenarnya tidak,” katanya.
Beliau berharap pihak MKN dapat mengkaji semula perkara ini apabila di bawa oleh YAB Menteri Besar Pahang kelak.
“Jadi kita harap MKN dapat mengkaji dan perkara ini, YAB Menteri Besar akan bawa ke MKN supaya dikaji semula supaya mereka yang dari luar negeri ini mesti kuarantin 14 hari di tempat-tempat kuarantin yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya. -PAHANGMEDIA