KUANTAN, 12 OGOS 2021: Kerajaan Pahang membuat keputusan untuk menanggung kos bagi kerja-kerja pengurusan jenazah terbabit dengan wabak pandemik COVID-19 di negeri ini, sambil mengalu-alukan sumbangan semua pihak untuk turut terlibat dengannya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri akibat beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga waris.

Beliau berkata, seperti sedia maklum, semua pengurusan jenazah berkaitan COVID-19 diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital-hospital terbabit, dengan menggunakan khidmat badan-badan sukarelawan.
Menurutnya, badan-badan sukarela ini pula mengenakan kadar bayaran tertentu kepada keluarga waris, bagi kerja-kerja mengkafan, tayammum, solat, menggali kubur dan pengkebumian, selain menyediakan kain kafan, keranda dan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk petugas.
“Dengan keputusan MMK Negeri semalam, badan-badan sukarela berkenaan kini boleh menuntut bayaran tersebut daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) khususnya di masjid-masjid daerah berkenaan.
“Mesyuarat MMK sama juga memutuskan, sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah COVID-19 ditubuhkan yang dikendalikan oleh JAIP. Sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telahpun bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas ini,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga berkata, JAIP akan meminta semua masjid di negeri ini untuk turut membuat kutipan khas dalam kalangan kariah masjid masing-masing, bagi turut disalurkan ke tabung bantuan khas ini.
“Adalah diharapkan, keputusan yang Kerajaan Negeri buat ini mendapat kerjasama baik semua pihak untuk menjayakannya,” katanya.-PAHANGMEDIA