Oleh: Fairus Mohd
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 11 OGOS 2021 : Penduduk di daerah ini diminta agar terus mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) serta peka dengan penyebaran varian baharu COVID-19 yang mampu tersebar dengan begitu pantas serta meragut lebih banyak nyawa.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penyebaran varian Delta telah sampai ke daerah ini dan ia sememangnya membimbangkan.
“Saya ingin mengingatkan penduduk di daerah ini mengenai bahayanya ancaman virus ini di mana ia boleh tersebar dengan mudah melalui udara. Sentiasalah pakai mask kalau boleh dua lapisan bila berada di luar rumah.
“Saya juga berharap agar kita dapat bersama-sama berdoa agar pandemik ini reda dan dapat dihindarkan terus sama sekali,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan 154 bungkusan makanan asas kepada Ketua Kampung Pulau Keladi, Encik Jaafar Abdul Rani yang menjadi wakil penerima bagi semua penduduk terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO).
Penduduk di Kampung Baru Pulau Keladi dikenakan TEMCO bermula semalam (10 Ogos) berikutan terdapat penularan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan dilaporkan.
Sementara itu, YB Dato’ Hj Mohd Fakhruddin turut meluangkan masa melawat anggota yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Baru Pulau Keladi.
Pada lawatan berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan barangan asas kepada wakil 32 anggota keselamatan yang bertugas di SJR berkenaan iaitu Ketua Balai Polis Pekan, ASP Khairill Akmar Mohamad Ramli.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri terus menyalurkan bantuan termasuk kepada rakyat yang hidup dalam keadaan terhimpit akibat penularan wabak tersebut.
Katanya, ia terus menjadi sebahagian inisiatif untuk meringankan beban golongan berkenaan.
“Kita semua tahu mereka yang berada dalam kawasan TEMCO juga tidak boleh keluar selain daripada petugas barisan hadapan atau jika perlu mendapatkan rawatan perubatan.
“Jadi kita harap supaya sumbangan ini dapat dimanfaatkan kerana kerajaan sentiasa ingat dan cuba sedaya upaya melaksanakan yang terbaik untuk semua kluster atau segmen di dalam masyarakat (lapisan rakyat) yang terkesan disebabkan oleh COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA