Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Pahang kepada kepada keluarga Zulaikha Al-Hasanah Zulkalnain Shamsi, 21, yang sebelum ini mendapat perhatian YAB Menteri Besar Pahang kerana menderita penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (TB) tahap kritikal.

SUMBANGAN KERAJAAN PAHANG BERJUMLAH RM21,000 KEPADA ADIK ZULAIKHA

Oleh : Shazli Sufi Che Unik

KUANTAN, 11 OGOS 2021: Kerajaan Pahang menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM21,000 kepada adik Zulaikha Al-Hasanah Zulkalnain Shamsi, 21, yang sebelum ini mendapat perhatian YAB Menteri Besar Pahang kerana menderita penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (TB) tahap kritikal.

Sumbangan cek berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin kepada keluarga adik Zulaikha.

Menurut YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza, beberapa minggu lepas tular di media sosial tentang adik Zulaikha seorang pelajar UiTM, anak kepada peniaga pasar malam di Kuantan yang memerlukan dana untuk pembedahan segera bagi merawat penyakit Tibi Tulang yang dihidapinya.

“Penyakitnya sudah tahap kritikal dan sekiranya lambat di bedah berkemungkinan dia akan lumpuh seumur hidup. Dengan persetujuan YAB Menteri Besar, saya telah mengeluarkan surat bagi pihak Kerajaan Negeri kepada pihak Hospital UIA Kuantan untuk menyegerakan pembedahan dan mengakujanji akan menjelaskan kos pembedahan beliau.

“Saya menziarahi Adik Zulaikha di Hospital UIA dan menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sejumlah RM21,000 untuk kos pembedahannya. Adik Zulaikha kini sudah boleh bangun dan berjalan walaupun masih perlu dirawat seminggu lagi,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Adik Zulaikha, Puan Noraini Sulaiman berkata, kesihatan adik Zulaikha semakin baik, tetapi dia masih lagi berada di hospital kerana masih memerlukan rawatan fisioterapi sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut beliau lagi dijangkakan Zulaikha akan dibenarkan pulang dalam tempoh seminggu lagi dan beliau dan keluarga sedang membuat persediaan untuk menerima kepulangan Adik Zulaikha daripada hospital kelak.

Puan Noraini berharap sumbangan dan bantuan sebegini dapat diteruskan oleh kerajaan Negeri Pahang agar lebih ramai yang memerlukan bantuan seperti mereka mendapat bantuan dan terbela. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download