Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin ketika berucap pada Program Pemadanan Perniagaan Antara Pemain Industri Pelancongan di Menara Kuantan 188, di Kuantan semalam yang turut dihadiri oleh 100 pemain industri negeri ini.
KERAJAAN SALUR RM577,500 BANTUAN KEPADA SEKTOR PELANCONGAN PAHANG
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 11 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang telah menyalurkan sebanyak RM577,500 bantuan kepada penggiat sektor pelancongan di seluruh negeri ini sejak 2020 hingga 2021.
RM78,300 bantuan telah diberikan kepada 522 pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan di Negeri Pahang manakala sejumlah RM499,200 bantuan pada tahun 2021 telah diberikan kepada pengusaha pelancongan, badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan dan baucar pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, ini merupakan usaha dan inisiatif kerajaan membantu penggiat industri pelancongan di negeri ini terutama sepanjang tempoh ‘fasa survival’ apabila semua sektor pelancongan dihentikan kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, beliau berharap agar semua pihak dapat menggembleng usaha bagi sama-sama menyokong sektor pelancongan ini supaya dapat beroperasi semula dengan menawarkan perkhidmatan terbaik sepanjang ‘fasa recovery’ nanti.
“Kita minta semua pihak untuk membantu meningkatkan industri pelancongan di Pahang menerusi pelbagai bentuk sama ada mempromosi dan mengatur aktiviti pelancongan ke negeri Pahang termasuklah aktiviti korporat, lawatan dan keramaian.
“Syarikat besar dan badan bukan kerajaan (GLC) juga boleh membantu dalam penganjuran acara pelancongan sama ada secara penajaan atau sumbangan kewangan di samping menggalakkan pembelian produk pelancongan negeri Pahang sebagai hadiah seperti hasil kraftangan dan pakej pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Latihan Reskilling Digital yang diadakan secara maya di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.
Beliau berkata, syarikat besar dan GLC boleh menyumbang kepada kerajaan negeri sebagai insentif untuk membantu mempercepatkan pembangunan industri pelancongan bagi membolehkan semua pihak menikmati impak pemulihan ekonomi. – PAHANGMEDIA