Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.
KERAJAAN PAHANG TUNGGU KELULUSAN MKN UNTUK BUKA TIGA DESTINASI PELANCONGAN
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 10 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang menunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuka semula tiga destinasi pelancongan terkenal di Malaysia iaitu Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Taman Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah bekerjasama dengan penggiat industri pelancongan bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mempercepatkan pembukaan destinasi pelancongan di Pahang menerusi Green Travel Bubble.
Justeru, kerajaan sedang berusaha mempercepatkan vaksinasi COVID-19 bagi semua yang terlibat dengan industri pelancongan khususnya destinasi tumpuan pelancong.
“Industri pelancongan adalah penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara termasuklah Negeri Pahang. Jadi kita mohon kerjasama daripada semua pihak untuk mempercepatkan pembangunan semula industri pelancongan kerana impak ekonomi akan dapat dinikmati oleh pelbagai industri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Latihan Reskilling Digital yang diadakan secara maya di pejabat Tourism Pahang, di Kuantan.
Kerajaan Pahang telah berusaha melakukan pelbagai inisiatif bagi memastika sektor pelancongan dapat beroperasi semula termasuklah memastikan pemvaksinan penduduk dan penggiat pelancongan di destinasi pelancongan bagi mewujudkan imuniti kelompok.
Sehingga kini, Bukit Fraser dan Pulau Tioman telah mencapai imuniti kelompok dengan 94 peratus bagi Bukit Fraser dan 87.13 peratus bagi Pulau Tioman.
Manakala Taman Negara, Genting Highlands dan Cameron Highlands sedang berusaha bagi mencapai imuniti kelompok bagi memastikan syarat-syarat dan SOP di bawah Green Travel Bubble dapat dipatuhi. – PAHANGMEDIA