Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
JENGKA, 08 OGOS 2021 : Penerima Bantuan Prihatin Rakyat melahirkan rasa terharu dengan keperihatinan Kerajaan Pahang kepada murid berkeperluan khas di negeri ini.
Salah seorang penjaga, Puan Nor Haslinda A Ghani, 41, yang merupakan ibu kepada Nur Danishya Airis Balqish Mohd Norazam,10 yang merupakan pelajar disleksia pembelajaran di SK Bandar Pusat berkata dia tidak menyangka mendapat bantuan seperti ini.
“Rasa terharu, bersyukur. Tak sangkalah dapat bantuan ni kan, terima kasih kepada Kerajaan Pahang.

“Saya rancang nak guna (sumbangan) untuk pembelajaran anak sebab banyak keperluan untuk pembelajaran anak macam untuk tuisyen, dan beli bahan-bahan pembelajaran untuk memudahkan dia belajar,” katanya.
Sementara itu, Encik Muhammad Addy Izuan Abu Bakar, 35, bapa kepada Nur Putri Lidiya, 10, pelajar SK Jengka 9 yang menghidapi masalah pembelajaran dari segi intelektual berkata bantuan ini dapat membantunya menampung perbelanjaan anaknya.
“Saya cadang nak guna sumbangan yang dapat hari ini untuk perbelanjaan anak, termasuklah perbelanjaan perubatan dia.
“Saya gembira dapat bantuan macam ini dengan keadaan anak yang memerlukan perhatian khas ini, Alhamdulillah,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, bantuan yang diberikan ini adalah satu dasar oleh YAB Menteri Besar Pahang.
“Ini merupakan hasil daripada satu dasar oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail iaitu dibawah Bantuan Prihatin Pahang.
“Semoga bantuan yang diberikan kepada kumpulan bersasar ini dapat meringankan beban keluarga dalam menghadapi situasi pendemik COVID-19 ini,” katanya.
Beliau menyampaikan Bantuan Prihatin Rakyat Kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) Dewan Negeri (DN) Jengka seramai 203 pelajar secara pandu lalu di SMK Jengka 22 di sini hari ini.
Sebanyak RM50,750 diperuntukkan oleh Kerajaan Pahang kepada para pelajar berkeperluan khas di DN Jengka. -PAHANGMEDIA