PAHANG TERIMA KOMITMEN PELABURAN BERNILAI RM9.5 BILION

KUANTAN, 6 OGOS 2021: Pahang berjaya menerima komitmen pelaburan bernilai RM9.5 bilion pada pertengahan pertama tahun 2021 melalui usaha Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC).

Jumlah pelaburan ini menjangkaui sasaran asal Pelan Induk ECER 2.0 hanya RM5.1 billion untuk keseluruhan tahun 2021.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan peningkatan pelaburan ini, dijangka 6,700 peluang pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bakal tercipta untuk rakyat Pahang.

Katanya, antara pelaburan baharu yang bakal masuk ke negeri ini ialah daripada industri pembangunan tanah tinggi, penghasilan besi keluli dan pembuatan sarung tangan.

“Dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Asia Center of Excellence for Smart Technologies (ACES), kita akan berupaya memperkasakan Pekan Automotive Park (PAP) sebagai ‘Green Automotive Industrial Park’ yang bakal menarik lebih banyak pelaburan dalam pembuatan kenderaan elektrik.

“Pembangunan industri tenusu negara turut diperkasakan sehingga dijangka dapat mencapai tahap 40 peratus ‘self sufficiency level’ (SSL) negara dengan perkembangan ECER Dairy Valley project bakal dibangunkan di kawasan Pahang Barat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dengan kerjasama ECERDC, amat komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri menghasilkan limpahan yang bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Pahang.

“Pengukuhan strategik bagi industri sedia ada dan pertambahan sektor-sektor pelaburan baharu berupaya meningkatkan keupayaan Pahang untuk terus maju.

“Pelan jangka panjang, sederhana dan pendek yang telah dirangka dan dilaksakan oleh Kerajaan Negeri diharap dapat mengukuhkan ekonomi negeri ini dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Semoga setiap perancangan yang dilaksanakan ini diberkati dan diharap anak-anak negeri ini dapat memanfaatkan peluang-peluang yang telah tersedia ini sepenuhnya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download