Oleh : Fairus Mohd
BENTONG, 6 OGOS 2021 : Program vaksinasi yang berjalan lancar di daerah ini terutamanya di kawasan tumpuan pelancong bakal merealisasikan gelembung pelancongan di negeri ini.
Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Mohd Zulkifli Hashim berkata, suntikan vaksin di dua kawasan pelancongan utama juga berjalan lancar menyaksikan semua individu berumur 18 tahun ke atas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan di Janda Baik manakala proses suntikan vaksin di Genting Highland sedang giat dilakukan.
“Kira-kira 23.6 peratus penduduk di daerah ini telah selesai dua dos suntikan vaksin sehingga kelmarin manakala pendaftaran suntikan vaksin pula telah mencecah 78 peratus di mana sehingga kelmarin sebanyak 22,550 individu telah selesai dua dos manakala 41,517 selesai satu dos.
“Purata sehari suntikan bergantung dos yang kita terima dan bergantung juga keupayaan pusat vaksinasi sepertimana di sini hari ini sebanyak 600 dos suntikan sehari, jadi dalam seminggu 4,200 dos akan diselesaikan,”katanya selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Integrasi Dewan Perniagaan Cina Bentong di sini, semalam.
Sementara itu beliau berkata, pada masa ini terdapat satu PPV Integrasi iaitu di Dewan Perniagaan Cina Bentong manakala dua lagi adalah PPV tetap di Dewan Majlis Perbandaran Bentong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia selain satu PPV dikendalikan pihak swasta di Genting Highlands.
“Pelaksanaan suntikan vaksin juga dilaksanakan secara ‘outreach’ seperti di Simpang Pelangai, Chemomoi, Dewan Arena Benus, Janda Baik dan Taman Bentong Makmur.
“Program vaksinasi pada masa ini juga akan turut memberikan keutamaan kepada warga emas yang terlepas suntikan dalam fasa dua yang lalu berikutan tidak dapat hadir, lambat daftar dan alasan takut,” katanya. – PAHANGMEDIA