Oleh : Fairus Mohd
BENTONG, 5 OGOS 2021 : Semua petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini diwajibkan memakai dua pelitup muka dan pelindung muka dalam usaha mengelak risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas.
Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Mohd Zulkifli Hashim berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelak penularan wabak berkenaan sekiranya terdapat individu positif hadir untuk suntikan vaksin sepertimana yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Arena Benus, baru-baru ini.
“Saya menasihatkan masyarakat mengambil berat keadaan masing-masing dan jika bergejala janganlah hadir ke PPV dan semua individu yang hadir akan disaring terlebih dahulu dan mereka yang dkuarantin serta bergejala tidak dibenarkan masuk.
“Dalam kejadian di Dewan Arena Benus baru-baru ini tiada makluman mengenai jangkitan kepada orang lain, individu berkenaan sahaja didapati positif dan dikuarantin di rumah kerana berada pada tahap satu jangkitan,” katanya selepas melakukan tinjauan di PPV Integrasi Dewan Perniagaan Cina Bentong di sini.
Beliau mengulas berkenaan kejadian pada Jumaat lalu di mana seorang wanita yang hadir didapati positif Covid-19 selepas mengalami gejala batuk yang teruk sebaik sahaja selesai suntikan PPV Dewan Arena Bentong.
Difahamkan wanita yang demam dan batuk sejak seminggu lalu itu hadir di dewan berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari sehingga pukul 2.30 petang bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Dalam pada itu, Mohd. Zulkifli berkata, pada masa ini terdapat satu PPV Integrasi iaitu di Dewan Perniagaan Cina Bentong manakala dua lagi adalah PPV tetap di Dewan Majlis Perbandaran Bentong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia selain satu PPV dikendalikan pihak swasta di Genting Highlands.
“Semua individu yang hadir perlu disaring termasuklah melalui MySejahtera bagi memastikan mereka tidak bergejala dan juga tidak menjalani kuarantin.
“Mereka yang hadir mendapatkan vaksin juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya. – PAHANGMEDIA