Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 OGOS 2021 : Pahang akan menerima sebanyak 87,050 dos vaksin COVID-19 yang dijangka sampai pada hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata, dos vaksin yang akan tiba ini melibatkan dua jenis vaksinasi.
“Vaksin yang akan negeri Pahang terima hari ini, melibatkan vaksin jenis comirnaty (Pfizer) dan juga AstraZeneca.
“Kita difahamkan ia melibatkan penghantaran sebanyak 76,050 dos vaksin comirnaty (Pfizer) dan 11,000 dos AstraZeneca,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 765,038 dos vaksin COVID-19 telah digunakan di negeri ini setakat 2 Ogos lepas.
“Pahang menerima dos vaksin sebanyak 958,315 dos sejak Fasa 1 dimulakan dan kita telah menggunakan 765,038 dos sehingga 2 Ogos,” katanya. – PAHANGMEDIA