Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin menyampaikan Sumbangan Prihatin Covid-19 Negeri Pahang yang diadakan secara 'drive-thru' di Dataran Parkir Kuala Tahan, di Jerantut, semalam.

PEMAIN INDUSTRI PELANCONGAN TERUS DIBERI PERHATIAN

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 3 OGOS 2021: Bantuan Prihatin Pahang terus disalurkan kepada pemain industri pelancongan yang turut kehilangan mata pencarian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin berkata, sasarannya untuk meringankan beban mereka yang telah lama tidak dapat bekerja ekoran penutupan sektor berkenaan.

“Situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda masih belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir dan ia semakin menghimpit pemain industri pelancongan.

“Pihak Kerajaan Negeri Pahang sendiri telah menyalurkan lebih setengah juta ringgit untuk semua terkesan sepanjang penularan pandemik Covid-19, selain merancang perlaksanaan gelembung pelancongan yang akan memulihkan sektor ini secara berperingkat, ” katanya.

Beliau hadir menyampaikan Sumbangan Prihatin Covid-19 Negeri Pahang yang diadakan secara ‘drive-thru’ di Dataran Parkir Kuala Tahan, di Jerantut, semalam.

Turut hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB Zakhwan Ahmad Badarddin, Pemangku Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim, Ketua Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Puan Halimah Tus Saadiah Mohd Halim serta Ketua Pergerakan Puteri UMNO Jerantut, Puan Faezah Ishak (mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan, dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah merangkap ADN Pulau Tawar).

Penyampaian bantuan tersebut melibatkan seramai 116 orang di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, 71 orang di bawah Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara dan 46 orang pemandu Bot Sungai Tembeling.

Untuk rekod, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan awal tahun lalu, pihak Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada 522 orang pemandu pelancong dan pemandu bot pelancongan pada April 2020.

Bantuan kewangan secara one-off juga turut diberikan pada Februari tahun ini kepada 450 orang dari golongan yang sama. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download