KUANTAN, 1 OGOS 2021: YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa ulasan yang dibuat dan mendapat siaran dalam sesetengah media tempatan berkaitan isu Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 di mana beliau dapati ulasan-ulasan diberikan adalah tidak dalam konteks sebenar tetapi sebaliknya ada unsur atau berbaur pemanipulasian.
Beliau berkata, terkini beliau dapat kesan ialah ulasan oleh Presiden MIC, Yang Berbahagia Tan Sri SA Vigneswaran di mana pada pandangan beliau ulasan itu sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada suatu ‘political statement’ demi manfaat politik.

“Saya tidak mahu mengulas satu-persatu terhadap ulasan beliau, tetapi cukuplah dengan maklum balas saya kepada beberapa perkara yang dibangkitkannya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, disebutnya tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang perlu bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri di mana Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa betapa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, Baginda pula yang bertindak menasihati Jemaah Menteri tentang perkara yang perlu dilakukan.
“Dalam hal ini sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak. Perkara 40 (2) ada termaktub bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan beberapa fungsi antaranya meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, berkenaan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, telah termaktub secara jelas betapa dalam soal untuk membatalkannya ia hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu.
Menurut beliau, inilah juga yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai 2021.
“Kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh Kerajaan Pusat maka menjadi tanggungjawabnya jugalah untuk memastikan setiap apa yang termaktub, dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan.
“Ini adalah keperluan kerana tanpa ia dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, apa juga perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuatkuasa untuk selama enam bulan akan datang,” katanya.
Beliau juga berkata, mengenai pertikaian Tan Sri Vigneswaran iaitu ‘why is dirty linen being washed in public’ merujuk kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Pusat; ia bukanlah persoalan pokok.
“Yang utamanya ialah, rakyat perlu turut diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar tanpa selindung mengenai isu yang diperkatakan sekarang,” katanya.-PAHANGMEDIA