Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) membuat laporan polis supaya tindakan tegas dikenakan terhadap tuduhan derhaka dilakukan oleh Raja Petra Kamarudin yang mengeluarkan kenyataan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

MBNP MAHU RAJA PETRA KAMARUDIN DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 1 OGOS 2021 : Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) mahu tindakan tegas dikenakan terhadap tuduhan derhaka dilakukan oleh Raja Petra Kamarudin yang mengeluarkan kenyataan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
 
Presiden MBNP, Encik Mohd Izzat Afifi Dato’ Haji Abdul Hamid berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Raja Petra di atas tindakan derhaka beliau itu.
 
“Tindakan tegas perlu dikenakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuklah memohon ekstradisi Raja Petra ke Malaysia dan dibicarakan di mahkamah atas tindakan derhaka beliau.
 
“MBNP akan membuat laporan polis terhadap kenyataan ini dan memohon semua pihak untuk melakukan perkara sama,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, semalam.
 
Encik Mohd Izzat Afifi berkata, tindakan Raja Petra tersebut mampu mengganggu kestabilan negara dengan cubaan mewujudkan persepsi di kalangan orang ramai bahawa berlakunya komplot peringkat tertinggi.
 
“Tindakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas hanyalah menjalankan amanah dan tugas seperti mana terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Sumpah Memegang Jawatan Baginda iaitu untuk menjalankan pemerintahan yang adil sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
 
Justeru, MBNP menyifatkan kenyataan oleh Raja Petra adalah tidak relevan, menyeleweng, tidak tepat dan merendahkan kedudukan baginda selaku ketua negara. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download