KUANTAN, 29 JULAI 2021: Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang menjunjung titah atas penzahiran perasaan amat dukacita Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.
Pengerusi BN Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembatalan itu disebut di Parlimen pada 26 Julai lepas oleh wakil Kerajaan Pusat, tetapi sebenarnya tidak mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu sepertimana titah maklum Baginda dalam kenyataan media dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.
Beliau berkata, BN Negeri Pahang ditunjangi UMNO, juga berasa teramat sedih dan sangat kesal dengan kejadian ini yang bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara, malah prinsip kedaulatan undang-undang sekali pun.
“Bak kata pepatah, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata malah dalam tindakan sehingga mengelirukan rakyat-jelata,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau juga berkata, BN Negeri Pahang menuntut agar Kerajaan Pusat mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini dan sikap membisu sehingga kini tidak sekali-kali membantu.
“Umpama ‘Sudah terang lagi bersuluh’, tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda, serta tindak balas sewajarnya yang perlu diambil oleh YAB Perdana Menteri, serta menteri yang bertanggungjawab mengenainya,” katanya.-PAHANGMEDIA