KUANTAN, 28 JULAI 2021: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan dana berjumlah RM5 juta bagi menjayakan program Dapur Zakat bagi membantu golongan yang terputus bekalan di Negeri Pahang.
Timbalan Yang Di-Pertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang yang juga Tuanku Yang Di-Pertua MUIP sangat tersentuh hati dengan nasib rakyat pada hari ini.

Justeru Baginda telah menitahkan agar bantuan kepada golongan yang terputus bekalan ini dipelbagaikan lagi di negeri Pahang.
“Bagi menjunjung titah tersebut pihak MUIP telah menambah satu lagi program tambahan yang dikenali sebagai Dapur Zakat. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pusat Kutipan Zakat (PKZ), serta pengurusan masjid di Negeri Pahang yang berjumlah 663 buah masjid.
“Pihak pengurusan setiap masjid diminta supaya mewujudkan satu ruang yang dinamakan sebagai Dapur Zakat untuk menyediakan barangan keperluan asas khusus kepada ahli kariah yang telah terputus bekalan makanan sepanjang pandemik COVID-19 ini di kariah masjid itu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, sebagai pemulaan untuk menyediakan keperluan asas tersebut pihak MUIP telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 mulai bulan Jun ke dalam setiap akaun masjid di Negeri Pahang yang jumlah keseluruhannya adalah RM663,000.
“Selain itu pihak MUIP juga telah meluaskan lagi program Dapur Zakat ini di setiap Pasaraya Darul Makmur bagi memudahkan asnaf hadir untuk mengambil keperluan asas yang diperlukan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau berharap dengan kewujudan Dapur Zakat ini memberi ruang yang luas untuk semua umat Islam menginfak sedikit harta dan pendapatan mereka ke jalan Allah SWT. – PAHANGMEDIA