KUANTAN, 27 JULAI 2021: Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh Pahang kini dibuka semula mulai sejak semalam bagi menyediakan alternatif kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan internet yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembukaan semula ini berikutan daripada kadar vaksinasi yang semakin meningkat dijalankan di seluruh negeri Pahang.
Bagaimanapun katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat masih lagi digunapakai di setiap PIK sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19.
“Justeru saya berharap dengan beroperasinya PIK ini akan menyediakan alternatif kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan internet yang lebih baik dengan keutamaan akan diberikan kepada pengunjung dengan tujuan PDPR,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun bilangan pengunjung ke PIK masih lagi dihadkan, capaian internet WiFI percuma juga disediakan di persekitaran PIK tersebut dalam lingkungan 200 meter.
PIK adalah inisiatif bersama SKMM dengan Kerajaan Pahang bagi memberikan capaian internet jalur lebar secara kolektif kepada penduduk luar bandar dan ehingga kini terdapat 108 PIK di seluruh negeri Pahang.
Untuk menyemak lokasi PIK di kawasan berhampiran, orang ramai boleh melayari https://jendela.my/map/?internet-centre=show. – PAHANGMEDIA