Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 27 JULAI 2021: Seramai 444 orang murid berkeperluan khas (MBK) bagi sekolah rendah dan menengah di Daerah Jerantut menerima sumbangan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 berjumlah RM250 setiap seorang.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut, Dr Azman Huzir dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jerantut, Puan Fatihah Ibrahim.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Nazri berkata, bantuan wang tunai RM250 setiap seorang itu diagihkan secata pandu lalu di tiga lokasi berasingan.
Jelas beliau, kelmarin pihaknya menyerahkan sumbangan kepada 92 orang murid di kawasan Dewan Negeri Pulau Tawar di Geleri Mat Kilau manakala 121 penerima kawasan Dewan Negeri Tahan pula di Dewan Semai Bakti FEDA Padang Piol.
“Selain itu, pada semalam pula beliau menyerahkan sumbangan kepada 231 penerima di dalam kawasan Dewan Negeri Damak yang diadakan di pekarangan Dewan Majlis Daerah Jerantut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Katanya, sumbangan ini membuktikan bahawa Kerajaan Pahang pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sangat prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Sebelum ini Kerajaan Pahang juga telah mengagihkan sumbangan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Daerah Jerantut dengan melibatkan peruntukan lebih RM270,000,” katanya. – PAHANGMEDIA