KUANTAN, 24 JULAI 2021: Kerajaan Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat wabak pandemik COVID-19.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak rumah RRP yang dicadangkan ialah di kampung asal allahyarham ibu, serta datuk dan nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.
Beliau berkata, sementara menunggu rumah ini siap, rumah sewa sementara akan juga disediakan dan dibiayai oleh Kerajaan Pahang.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini dimana yang sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau juga berkata, demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu Kerajaan Pahang membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
Selain itu katanya, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.
“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya.
Bapa lapan beradik itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai lalu, manakala ibu, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai lalu kedua-keduanya akibat COVID-19.
Nazurah Nabilah ketika ditemui media di Bukit Beruntung, Selangor, kelmarin berkata, arwah ibunya disahkan positif COVID-19 dahulu dan bapanya menjadi kontak rapatnya serta dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu.-PAHANGMEDIA