Oleh: Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 21 JULAI 2021: Polis akan membuka kertas siasatan susulan video tular menunjukan beberapa individu keluar daripada kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 22(1) Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan juga dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Saya menyeru pihak yang terlibat agar tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan diharapkan masyarakat untuk tidak melakukan perbuatan sedemikian kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
“Untuk makluman semua juga, kami petugas dilapangan sedia maklum dan sedia membantu kerana sekiranya ada masalah yang perlu kepada tindakan, mohon maklumkan petugas yang berada 24 jam di situ,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berharap tidak ada orang ramai yang mengambil tindakan sendiri dan beliau memberi jaminan pihak berkuasa yang berada di situ bukan hanya ingin mencari kesalahan tetapi ingin mengawal kawalan keselamatan dan membantu.
“Pihak berkuasa juga telah mengambil kira keperluan asas dengan memastikan kedai runcit, klinik dan lain-lain keperluan boleh diakses sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan keyakinan yang tinggi bahawa banyak perkara akan jadi mudah jika semua pihak bekerjasama mematuhi SOP yang ditetapkan. – PAHANGMEDIA