Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 JULAI 2021: Terdapat satu kluster baharu berkaitan penularan tempat kerja dilaporkan hari ini di daerah Temerloh dengan 102 disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster ini dinamakan Kluster Paya Luas, Temerloh.

“Kluster ini bermula dengan satu kes positif pada 5 Julai 2021 di daerah Temerloh. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana disyaki telah berlakunya penularan wabak di tempat kerja iaitu di Jalan Paya Luas, Taman Harapan.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia. Sehingga 20 Julai 2021 jam 12 tengahari, seramai 2,037 individu telah disaring dalam kluster ini dan 102 dikesan positif COVID-19,” katanya.
Beliau berkata terdapat 12 kluster aktif mencatatkan pertambahan kes disahkan positif COVID-19 sebanyak 89 kes hari ini.
“…iaitu Kluster Industri Bentong Sebelas 2 (pertambahan 12 kes dengan jumlah keseluruhan 26 kes), Kluster Desa Corina (pertambahan 7 kes dengan jumlah keseluruhan 26 kes), Kluster Industri Benus (pertambahan 13 kes dengan jumlah keseluruhan 260 kes).
“Kluster Jalan Chengal (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 40 kes), Kluster Jalan Jaya (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 69 kes), Kluster Jalan Mahkota (pertambahan 6 kes dengan jumlah keseluruhan 34 kes), Kluster Jalan Pak Ngah Aziz (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 28 kes),
“Kluster Kampung Kerpal (pertambahan 2 kes dengan jumlah keseluruhan 19 kes), Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 5 kes dengan jumlah keseluruhan 1222 kes), Kluster Pos Iskandar (pertambahan 31 kes dengan jumlah keseluruhan 121 kes), Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 537 kes) dan Kluster Sungai Jelai (pertambahan 1 kes dengan jumlah keseluruhan 101 kes),” katanya
Menurut beliau, sebanyak sepuluh daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Temerloh, manakala daerah Rompin berada di zon oren.
Sebanyak 288 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 19,236 kes. -PAHANGMEDIA