Foto: Metro Online

SALAHGUNA SURAT MITI ANTARA SEBAB 98 KENDERAAN DIARAH BERPATAH BALIK DI BENTONG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 19 JULAI 2021 : Menyalahguna surat MITI bagi alasan yang tidak munasabah antara sebab 98 kenderaan diarah berpatah balik di sekatan jalan raya di Bentong sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula 15 Julai sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya turut mengeluarkan lima kompaun atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tersebut.

“Statistik (kenderaan) diarah berpatah balik dari 15 Julai sehingga 19 Julai 2021 sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebanyak 98 buah kenderaan.

“Mereka diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah daripada pihak PDRM, tiada dokumen rentas negeri, menggunakan surat MITI bagi sebab yang tidak munasabah dan lain-lain lagi.

“Manakala lima kompaun telah dikeluarkan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Beliau berkata sebanyak tiga sekatan jalan raya telah didirikan di bawah IPD Bentong iaitu selepas Plaza Tol Bentong menghala Kuantan, di hadapan SMK Bukit Tinggi, dan Jalan Simpang Durian, Manchis.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun ke atas individu yang melanggar peraturan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download