Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 19 JULAI 2021 : Terdapat dua kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan daerah Cameron Highlands dan Kuantan dengan 42 individu disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kluster baharu berkenaan ialah Kluster Desa Corina dan Kluster Jalan Pak Ngah Aziz.

“Kluster Desa Corina mula dilaporkan pada 16 Julai 2021 di daerah Cameron Highlands. Nama kluster merujuk kepada tempat berlakunya penularan kes iaitu di syarikat pengilangan sayur di Desa Corina, Kampung Raja.
“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang merupakan seorang pemandu lori. Beliau mempunyai rutin sering berulang ke Selayang untuk menghantar sayur dari Kampung Raja.
“Kes mula bergejala demam, sakit kepala dan batuk pada 11 Julai 2021 setelah pulang menghantar sayur di Selayang pada 11 Julai 2021. Ujian RTK Ag COVID-19 pada 14 Julai 2021 adalah positif dan seterusnya ujian swab PCR bertarikh 14 Julai 2021 telah disahkan positif pada 16 Julai 2021. Seterusnya pengesanan kontak rapat keluarga dan tempat kerja telah dijalankan. Seramai 154 individu telah disaring dan 19 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.
Menurut beliau, Kluster Jalan Pak Ngah Aziz, Kuantan bermula dengan satu kes positif COVID-19 pada 14 Julai lepas.
“Nama kluster merujuk kepada lokaliti disyaki telah berlakunya penularan wabak di komuniti. Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia. Kes tinggal bersama keluarga di Perkampungan Pak Ngah Aziz, Bukit Goh.
“Kes menjalani saringan PCR pada 13 Julai 2021 kerana perlu menjalani prosedur di Hospital Tengku Ampuan Afzan (saringan pra-prosedur). Kes mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada hari yang sama. Keadaan kes semakin merosot dan kes disahkan meninggal dunia pada 14 Julai 2021. Kes disahkan positif swab PCR pada 14 Julai 2021. Seramai 153 individu telah disaring dalam kluster ini dan 23 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua 11 daerah mencatatkan pertambahan kes disahkan positif COVID-19 hari ini dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi.
“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (199 kes), diikuti Bera (81 kes), Temerloh (63 kes), Bentong (42 kes), Jerantut (30 kes), Maran (22 kes), Lipis (13 kes), Raub (13 kes), Rompin (6 kes), Cameron Highlands (4 kes) dan Pekan (2 kes),” katanya.
Sebanyak 475 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 18,948 kes. -PAHANGMEDIA