Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 JULAI 2021 : ANIH Berhad menjangkakan berlaku penurunan jumlah trafik sepanjang kira-kira seminggu sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha ini berikutan larangan rentas negeri yang masih dikekalkan.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata jangkaan ini bermula semalam sehingga 25 Julai depan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
“Untuk tempoh musim perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai 2021, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian, masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1,” katanya.
Beliau berkata namun demikian pihaknya akan tetap memastikan semua kemudahan di lebuhraya berada dalam keadan yang terbaik.
“Syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.
“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuhraya termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1,” katanya.
Menurut beliau lagi, semua fasiliti di kedua-dua lebuhraya berkenaan juga mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan Prosedur Operasi Standard, (SOP) yang tinggi, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri, dan alat pengimbas suhu badan. Oleh itu, pengguna lebuhraya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuhraya,” katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan lebuhraya atau syarikat, orang ramai boleh ke laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur, manakala untuk bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111. -PAHANGMEDIA