1,335 PERMOHONAN UNTUK LAKSANA IBADAH KORBAN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 16 JULAI 2021: Sebanyak 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih telah dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di lokasi sembelihan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagaimanapun, kesemua mereka yang telah diberi kebenaran itu perlu melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata, 1,335 permohonan itu melibatkan 336 masjid dan tempat penyembelihan yang telah dikenalpasti dapat melaksanakan ibadah dengan mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita mendapat persetujuan melaksanakan ibadah korban walau dengan SOP yang agak ketat iaitu tempat-tempat yang tertentu sahaja yang diiktiraf dan diberi lesen oleh pihak verterinar.

“Masjid-masjid ini juga perlu mempunyai kelengkapan yang memadai, yang mencukupi untuk mematuhi SOP dan juga mereka yang menyembelih mestilah mengambil swab test sebelum mereka melaksanakan ibadah korban itu tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang di pejabatnya di Bangunan Wisma Sri Pahang, di Kuantan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua institusi masjid dan surau yang dibenar melaksanakan solat Jumaat dan fardu boleh melaksanakan Solat Sunat Aidiladha dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Namun, beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang berkemampuan untuk menerima lebih ramai jemaah daripada kapasiti yang ditetapkan, boleh membuat permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi menambah jumlah jemaah yang dapat hadir untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Jelasnya, pihak kerajaan akan bekerjasama dengan beberapa agensi penguatkuasa bagi memastikan SOP terjaga sepanjang perlaksanaan solat Aidiladha dan ibadah korban nanti.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download