Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 JULAI 2021 : Seramai 12 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan disahkan positif COVID-19, manakala 67 lagi sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua yang positif kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Gambang serta di kediaman masing-masing.
“Saya dimaklumkan mereka yang positif iaitu tiga individu ditempatkan di PKRC Gambang, lapan individu di kediaman masing-masing, dan seorang lagi kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAA.
“Seramai 67 orang lagi kini menjalani kuarantin di kediaman mereka kerana masih menunggu keputusan ujian calitan, dan ada di antara mereka yang dikuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun keputusan ujian calitan mereka negatif,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau berkata jangkitan berkenaan berpunca daripada beberapa faktor termasuklah jangkitan ketika bertugas.
“Antara punca jangkitan adalah semasa tangkapan Orang Kena Tahan (OKT) ketika bertugas selain kemungkinan jangkitan berlaku semasa tugasan yang memerlukan mereka bertemu dengan orang awam termasuklah ketika pengurusan permit pergerakan.
“Ada di antara mereka yang dikesan setelah bergejala iaitu demam dan batuk, dan ketika ujian calitan dijalankan, mereka didapati positif sebelum kita meminta kontak rapat mereka membuat saringan dan menjalani tempoh kuarantin,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, hanya Unit Kereta Peronda (MPV) sahaja yang terlibat dengan jangkitan wabak ini di IPD Kuantan.
“Bahagian MPV sahaja yang terlibat namun unit ini masih operasi tetapi terpaksa dikecilkan dan hanya fokus kepada tugas-tugas penting sahaja, dan tugas unit ini juga akan dibantu oleh balai-balai yang lain juga,” katanya.
Beliau berkata bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat diputuskan, pihaknya mengambil langkah untuk mengetatkan pematuhan SOP di semua bahagian.
“Kita akan ketatkan pematuhan SOP di semua bahagian dengan pemantauan oleh ketua-ketua bahagian masing-masing.
“Selain itu, kita akan mengingatkan pegawai dan anggota kita setiap masa melalui taklimat penugasan serta selepas tugas, mereka mesti mengekalkan pematuhan SOP seperti yang diarahkan,” katanya. -PAHANGMEDIA