COVID-19 : SEMBILAN DAERAH CATAT PERTAMBAHAN KES, KUANTAN TERTINGGI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 15 JULAI 2021 : Sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini hari ini dengan Kuantan mencatatkan kes tertinggi.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata hanya Cameron Highlands dan Raub tidak merekodkan sebarang kes hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (163 kes), diikuti Temerloh (18 kes), Pekan (14 kes), Lipis (12 kes), Jerantut (6 kes), Maran (4 kes), Bentong (3 kes) dan masing- masing satu (1) kes di Bera dan Rompin,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 210 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 12 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 219 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan tiga (3) kes import (2 dari Terengganu, 1 dari Selangor).

“Terdapat 73 kes diperolehi daripada saringan kluster, 94 saringan kontak rapat, 32 saringan bergejala, 14 saringan bersasar, empat (4) saringan pekerjaan, satu (1) saringan pra prosedur, dua (2) saringan pengembara dan dua (2) saringan OKT,” katanya.

Menurut beliau lagi, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 2,245 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan tujuh Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini, manakala 405 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 28 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 17 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 16 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Lapan daerah dilaporkan berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh, manakala daerah Cameron Highlands, Rompin dan Raub berada di zon oren, dan tiada daerah berada dalam zon kuning dan hijau.

Sebanyak 222 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 17,405 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download