Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

KERAJAAN PAHANG SUMBANG RM495,000 KEPADA BELIA SECARA BERSASAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 15 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang akan memberikan sumbangan bersasar kepada golongan belia di negeri ini melalui Program Sentuhan Kasih COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM495,000.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, sumbangan yang pertama kali diberikan kepada golongan muda bersasar ini meliputi tiga program yang telah dirancang.

“Pertama sekali, kita akan memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 2,000 belia yang telah kita sasarkan iaitu mereka daripada Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dan daerah, serta daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Ini kerana mereka ini turut bertugas sebagai sukarelawan dan mereka juga adalah frontliners dalam membantu penduduk di negeri ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), semalam.

Beliau berkata, dua program lagi yang dirancang adalah melibatkan pemberian kit makanan dan bantuan kewangan serta membantu golongan usahawan belia.

“Selain itu, kita akan memberikan bantuan kit makanan kepada 3,300 belia di 11 daerah melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM165,000.

“Bagi bantuan kewangan kepada 3,300 belia yabg juga melibatkan 11 daerah iaitu sebanyak RM100 setiap seorang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM330,000.

“Semua ini akan kita maklumkan kepada pihak PKOB supaya tidak ada pertindihan, supaya sasaran ini diberikan secara bersasar dan tidak ada pembaziran selain memastikan kita tidak beri bantuan ini kepada mereka yang betul-betul memerlukan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memohon dengan Kerajaan Pahang untuk membantu para usahawan belia di seluruh negeri ini yang terjejas dengan pandemik COVID-19 ini.

“Kita mohon juga daripada Kerajaan Negeri untuk membantu para usahawan belia kira-kira 200 orang yang diselaraskan oleh Majlis Belia Negeri Pahang, yang mana kita akan beri RM200 setiap seorang,” katanya

Menurut beliau, kesemua bantuan ini adalah bukti kemurahan hati YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menyantuni semua golongan masyarakat semasa pendemik ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download