Gambar hiasan

COVID-19 : 2,225 KES POSITIF SEDANG DIRAWAT DI HOSPITAL DAN PKRC HARI INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 14 JULAI 2021 : Sebanyak 2,225 kes positif COVID-19 sedang dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini hari ini.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata 319 kes lagi berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sejumlah 2,225 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri Pahang dan tujuh buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu PKRC UMP, PKRC iKPKT, PKRC ILKKM, Hotel Seri Malaysia, KUIPSAS, Hospital Jengka dan PKRC SUKPA. Manakala 319 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 30 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 18 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 12 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 18 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 380 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 20 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 398 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, dua (2) kes import (2 dari Kuala Lumpur). Terdapat 138 kes diperolehi daripada saringan kluster, 189 saringan kontak rapat, 23 saringan bergejala, 43 saringan bersasar, empat (4) saringan pekerjaan, dua (2) saringan pra prosedur dan satu (1) saringan pengembara,” katanya.

Menurut beliau lagi, lapan daerah dilaporkan berada di dalam zon merah manakala tiga daerah lagi berada di dalam zon oren.

“Sebanyak lapan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh.

Manakala daerah Cameron Highlands, Rompin dan Raub berada di zon oren. Tiada daerah berada dalam zon kuning dan hijau,” katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat 10 daerah di negeri ini yang mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (297 kes), diikuti Jerantut (48 kes), Temerloh (28 kes), Bentong (12 kes), Pekan (4 kes), Maran (3 kes), Lipis (3 kes), Bera (2 kes), Rompin (2 kes) dan Raub (1 kes),” katanya.

Sebanyak 400 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 17,183 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download