Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 JULAI 2021 : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan tiga bot nelayan bersama 21 kru warga Vietnam yang disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggaji kru warga asing tanpa kebenaran semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Amran Haji Daud dalam satu kenyataan kepada media berkata kesemua bot nelayan tempatan Kelas C itu ditahan kira-kira 20 batu nautika timur Kuala Kuantan.
“Semasa rondaan Op Makmur di perairan Pahang, aset Maritim Malaysia telah mengesan tiga bot tersebut sedang menjalankan aktiviti perikanan secara berkelompok dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim Malaysia.
“Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot nelayan tempatan tersebut dikendalikan tekong warganegara Vietnam bersama awak-awak warganegara Vietnam kesemuanya seramai 21 orang berumur antara 19 sehingga 46 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut dokumen berkaitan mendapati ketiga-tiga bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya.
Beliau berkata kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 300 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihak Maritim Negeri Pahang telah berjaya merekodkan 10 kes atas pelbagai kesalahan setakat hari ini.
“Kita akan terus giat mengawal perairan negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika ini.
“Seterusnya memastikan keselamatan diutamakan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan mengelakkan dari berhadapan cuaca buruk,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – PAHANGMEDIA