Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 12 JULAI 2021: Pahang telah mencapai tahap minumum untuk kekal berada di Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kira-kira 13 peratus penduduk di negeri ini telah menerima suntikan vaksinasi lengkap.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata sebanyak 166,536 individu di negeri ini telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksinasi COVID-19 setakat ini.
“Rakyat Pahang yang telah menerima dua dos (suntikan vaksinasi COVID-19 di negeri ini) adalah lebih kurang 13 peratus setakat ini.
“Maknanya kita (di Pahang) telah pun mencapai tahap minima yang diperlukan untuk kekal berada di Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dan pendaftaran (penerimaan suntikan vaksinasi) juga telah capai 70 peratus (tengah hari ini), pagi tadi dekat-dekat 70 peratus sekarang dah capai 70 peratus dah. Jadi saya rasa Pahang tak ada masalahlah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pengoperasian hari pertama PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Zakaria Ibrahim; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Encik Mohd Yusri Mohd Nor dan Pengurus PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Dr. Rukini Hashim.
Mengulas mengenai berita Pahang gagal untuk kekal berada di Fasa Kedua PPN dengan jumlah kes yang meningkat kebelakangan ini, beliau berkata perubahan fasa ini melibatkan banyak indikator.
“Perubahan kepada fasa-fasa ada banyak indikator, ada banyak pengiraan. Apa-apa pun kes harian kita, Pahang masih lagi merupakan negeri yang kedua terendah dari segi per 100,000.
“Tadi sekitar 860 per 100,000. Yang lebih rendah dari Pahang hanya Perlis sahaja. Jadi kedudukan Pahang masih boleh bertahan lagilah walaupun ada naik turun kes,” katanya.
Beliau berkata jumlah kes yang turun dan naik mengikut hari bukanlah keadaan sebenar yang dihadapi oleh negeri Pahang.
“Naik turun kes itu sebenarnya bukanlah mencerminkan keadaan sebenar, sebab naik mendadak dan turun mendadak bukan kerana kes mendadak atau tak mendadak. Kita berdasarkan keputusan yang diterima dari makmal.
“Jadi keputusan yang saya boleh mengagak adalah dari makmal itu, dia akan turun ikut beberapa batch dan tak semestinya mengikut hari.
“Jadi kalau terkumpul (ujian) tiga empat hari itu, dia mungkin akan banyak mendadaklah. Kita pun masih banyak lagi saringan yang masih menunggu keputusan,” katanya.
Menurut beliau lagi, kadar jangkitan di negeri ini masih lagi rendah iaitu kedua terendah selepas negeri Perlis.
“Walaubagaimanapun kadar jangkitan masih rendah di Pahang. Macam saya kata tadi jangkitan per 100,000 adalah kedua terendah selepas Perlis,” katanya. -PAHANGMEDIA