Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 12 JULAI 2021 : Pemberian suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, akan dijalankan pada skala penuh Rabu ini.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata ini berdasarkan kelancaran proses pada hari pertama ini.
“Nampaknya dengan kejayaan (kelancaran pengoperasian PPV) hari ini, saya rasa pada hari Rabu nanti boleh berjalan seperti biasa dengan kapasiti penuh.
“Setakat ini dirancang (suntikan vaksin) untuk 1,600 orang tapi untuk hari ini dan esok kita beri 1,000 vaksin dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pengoperasian hari pertama PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Encik Mohd Yusri Mohd Nor dan Pengurus PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haii Ahmad Shah, Dr. Rukini Hashim.
Beliau berkata pengoperasian PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah berjalan seperti yang dirancang Kerajaan Pahang setakat ini.
“…tiada masalah yang timbul di PPV pada hari pertama operasi suntikan vaksin COVID-19 ini.
“Ini kerana semua yang ada di sini bekerja dengan penyelarasan penuh dan mendapat kerjasama bukan sahaja daripada petugas namun juga dari kalangan penerima vaksin,” katanya.
Dewan Jubli Perak ini kembali dijadikan PPV bermula hari ini setelah sebelum ini dibuka bagi tujuan pengambilan sampel ujian calitan yang melibatkan kluster aktif dan kes baharu. -PAHANGMEDIA