Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 JULAI 2021 : Sebanyak 21 kes positif COVID-19 di negeri ini memerlukan bantuan mesin pernafasan daripada 27 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua hospital terlibat.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata kesemua mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS).

“Sejumlah 2,104 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan buah hospital di negeri Pahang dan tujuh buah Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) iaitu PKRC UMP, PKRC iKPKT, PKRC ILKKM, Hotel Seri Malaysia, KUIPSAS, Hospital Jengka dan PKRC SUKPA. Manakala 198 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 27 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 17 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 21 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 270 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 30 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 293 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, lima (5) kes import (2 dari Negeri Sembilan, 2 dari Selangor, 1 dari Terengganu) dan dua (2) saringan OKT.
“Terdapat 111 kes diperolehi daripada saringan kluster, 147 saringan kontak rapat, 20 saringan bergejala, 15 saringan bersasar, tiga (3) saringan pra prosedur, dua (2) saringan OKT, satu (1) satu saringan pengembara dan satu (1) saringan pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak sembilan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh, manakala daerah Rompin dan Raub berada di zon oren.
“Dimaklumkan bahawa sebanyak 10 daerah mencatatkan pertambahan kes. Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (213 kes), diikuti Temerloh (21 kes), Bentong (21 kes), Jerantut (16 kes), Maran (10 kes), Raub (7 kes), Pekan (6 kes), Bera (3 kes), Lipis (2 kes) dan Cameron Highlands (1 kes),” katanya.
Sebanyak 300 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 16,148 kes. -PAHANGMEDIA