Gambar Fail

KERAJAAN PAHANG SUMBANG RM90,000 KEPADA PKD LIPIS BAGI BELI MESIN ULTRABUNYI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

LIPIS , 10 JULAI 2021: Kerajaan Pahang menyumbang sebanyak RM90,000 kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Lipis, hari ini bagi membeli mesin ultrabunyi.

Pegawai Kesihatan Daerah Lipis, Dr. Nordiana Rosli berkata pihaknya berbesar hati dengan sumbangan daripada Kerajaan Pahang ini yang dapat memudahkan perkhidmatan kesihatan di daerah ini.

“Terima kasih Kerajaan Pahang, dan YAB Menteri Besar Pahang yang sudi menyumbang wang bagi membeli mesin ultrabunyi yang telah rosak di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Lipis.

“Dengan sumbangan ini, kami di KKIA tidak lagi perlu meminjam mesin ultrabunyi dari KKIA di Bukit Betong atau Mela seperti sebelum ini sejak setahun lepas,” katanya.

Penerima Bantuan Prihatin Pahang, Encik Amar Abd Hamid menunjukkan cek yang diterimanya daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang akan digunakannya untuk membaik pulih kolam ternakan ikan miliknya yang musnah akibat banjir baru-baru ini.

Beliau menerima sumbangan berkenaan dari YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada serahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 30 penerima serta penyampaian cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada tujuh penerima di Dataran Lubuk Kulit, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Cameron Highland, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor; Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang kepada salah seorang penerima di Dataran Lubuk Kulit, Lipis, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima cek sumbangan Kerajaan Pahang, Encik Amar Abd Hamid, 60, dari Kampung RPSB Batu Sembilan berkata dia akan menggunakan wang yang diterima bagi membaik pulih kolam ternakan ikan miliknya yang musnah akibat banjir baru-baru ini.

“Terima kasih YAB Menteri Besar dan Kerajaan Pahang yang memberikan bantuan hari ini. Dapatlah saya guna untuk baiki kolam ikan patin dan tilapia yang rosak masa banjir baru ini.

“Saya rugi hampir RM20,000 masa banjir dan memandangkan itu satu-satunya sumber pendapatan saya sejak mengusahakannya lima tahun lepas,” katanya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kekal akibat hilang kaki kirinya sejak 10 tahun lepas akibat kemalangan motorsikal.

Sementara itu, seorang penerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP), Puan Junainah Abdullah, 41, dari Kampung Beletik berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dengan sumbangan pek makanan ini.

“Terima kasih YAB Menteri Besar atas sumbangan ini kerana ia dapat meringankan beban kita sebagai orang kampung tambahan pula ada sesetengah dari kita yang tidak mempunyai pekerjaan sekarang ini,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat KEMAS.

Seramai 30 penerima daripada Kampung Lubuk Kulit dan Kampung Beletik menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan tujuh lagi penerima menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bernilai RM141,000 hari ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download