Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
LIPIS , 09 JULAI 2021 : Kerajaan Pahang akan mula menerima dos vaksin COVID-19 tambahan daripada Kerajaan Persekutuan, Isnin depan bagi menampung jumlah penerima vaksin di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata dos berkenaan adalah dos vaksin tambahan berjumlah 440,000 dos yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Dengan pertambahan kes (positif COVID-19) yang makin bertambah, kalau kita nak kembali kepada sebelum ini, kita kena daftar untuk menerima suntikan vaksinasi COVID-19.
“Tugas daftar, tugas kita semua. Dan tugas mendapatkan dos suntikan itu adalah tugas Kerajaan Negeri di mana kita akan pantau penghantaran dos vaksin tambahan ini yang akan dihantar (ke Pahang) mulai Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada serahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada 29 penerima serta penyampaian cek sumbangan Kerajaan Pahang kepada sembilan penerima di Dataran Pekan Sehari Bukit Betong, di sini, hari ini.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Parlimen Cameron Highland, YB Tuan Ramli Dato’ Mohd Nor; dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH Dato’ Ishak Nafis.
Beliau berkata suntikan vaksinasi ini juga adalah sebagai langkah perlindungan kepada diri kita daripada kesan akibat jangkitan COVID-19.
“Kalau kita dapat suntikan ini sekurang-kurangnya kita terlindung (daripada kesan yang teruk) berbanding dengan tidak ada suntikan.
“Tadi saya bercakap kepada masyarakat Orang Asli di Betau, kalau kita dah cucuk (vaksin COVID-19) ini ibaratkan diri kita dalam perjalanan, tiba-tiba hujan, kita ada payung, jadi air hujan itu tak kena pada kita, tapi kalau kena pun sedikit. Bila kita sampai ke rumah, kita tidak basah kuyup.
“Maknanya kalau kita dah ambil suntikan vaksinasi, dan kita kena pun (COVID-19) , kita tidak akan sampai ke tahap 3 atau tahap 4. Kalau kita kena juga tidaklah seteruk tahap 3 dan 4,” katanya. -PAHANGMEDIA