PASAR BESAR KUANTAN DITUTUP SEHINGGA SEMUA PENJAJA LAKUKAN UJIAN SARINGAN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 8 JULAI 2021 : Pengoperasian Pasar Besar Kuantan akan terus ditutup sekiranya 264 penjaja masih berdegil bagi melakukan ujian saringan COVID-19 seperti yang diarahkan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pihaknya tidak dapat membenarkan pasar dibuka sekiranya kesemua 434 penjaja tidak melakukan ujian calitan (swab test) demi menjaga keselamatan semua pihak khususnya penduduk Kuantan.

“Pasar Besar Kuantan ini tidak akan dibuka jika 100 peratus penjaja terlibat masih tidak menjalani swab test. Kita mahu apabila pasar dibuka ianya adalah selamat untuk dikunjungi bagi menjaga semua pihak sama ada penjaja atau penduduk Kuantan.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin

“Jika sehingga esok, masih ada penjaja gagal tampil setelah pelbagai pendekatan dibuat, semua nama akan diserahkan kepada pihak berkuasa iaitu pihak polis untuk diambil tindakan penguatkuasaan dari rumah ke rumah supaya mereka dapat tampil membuat saringan demi keselamatan semua,” katanya katanya di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini Kluster Pasar Kemunting telah membabitkan hampir 800 kes positif jangkitan COVID-19 dengan turut melibatkan penjaja di Pasar Besar Kuantan.

Keadaan ini akan semakin membimbangkan sekiranya golongan penjaja tidak memberikan kerjasama terhadap arahan MBK untuk membuat saringan COVID-19.

Dato’ Hamdan berkata, pihak kerajaan negeri turut membuat pemantauan terhadap kluster terbabit termasuklah kontak rapat yang terlibat supaya turut hadir melakukan ujian saringan.

Pihak MBK telah menggunakan pelbagai pendekatan bagi memastikan kesemua 264 penjaja hadir bersama keluarga mereka untuk memuat ujian saringan secara pandu lalu di Terminal Sentral Kuantan (TSK). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download