Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 JULAI 2021 : Sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini dengan kes tertinggi dicatatkan di Kuantan.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata daerah kedua mencatatkan kes tertinggi adalah Bentong.

“Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (157 kes), diikuti Bentong (29 kes), Jerantut (27 kes), Temerloh (26 kes), Cameron Highlands (5 kes), Maran (5 kes) dan masing- masing tiga (3 kes) di Pekan, Bera dan Raub,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah kes positif baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 210 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 48 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 253 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan lima (5) kes import (3 dari Selangor, 1 dari Pulau Pinang, 1 dari Kedah).
“Terdapat 139 kes diperolehi daripada saringan kluster, 96 saringan kontak rapat, 10 saringan bergejala, 11 saringan bersasar, satu (1) saringan pra-pekerjaan dan satu (1) saringan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 2,087 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital dan empat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini, manakala 221 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 28 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 17 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 11 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 19 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebanyak tujuh daerah berada dalam zon merah, dua di zon jingga, dan dua lagi di zon kuning hari ini.
“Tujuh daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Maran dan Temerloh.
“Manakala daerah Pekan dan Lipis berada di zon oren. Hanya daerah Raub dan Rompin berada dalam zon kuning. Tiada daerah berada dalam zon hijau,” katanya.
Sebanyak 258 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 15,235 kes. -PAHANGMEDIA