Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 7 JULAI 2021: Kerajaan Pahang bersetuju untuk membenarkan 1,300 pekerja kilang warganegara Malaysia di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dipindahkan ke pusat kuarantin.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama pihak pengurusan majikan dan wakil pekerja di MCKIP.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, bagaimanapun gaji pekerja sepanjang tempoh kuarantin dan tempoh pemulihan (jika berkaitan) adalah masih di bawah tanggungan pihak majikan.
“Sebarang perkaitan mengenai sambung kerja ataupun cuti tanpa gaji hanya boleh dibuat selepas tamat tempoh kuarantin diri ataupun rawatan mengikut garis panduan daripada Jabatan Tenaga Kerja,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh Unit Antarabangsa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama PDRM dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.
Selain itu Unit Antarabangsa juga akan bertindak sebagai pusat perhubungan dengan wakil pekerja dalam menyelesaikan isu berbangkit sepanjang tempoh kuarantin.
Beliau berkata, pekerja kilang bukan warganegara akan dipastikan untuk terus kuarantin di dalam premis kilang tersebut dalam memutuskan rangkaian kejangkitan virus Pandemik ini.
Turut hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain yang berharap penularan jangkitan COVID-19 di dalam kalangan pekerja kilang MCKIP dapat diputuskan segera disamping kebajikan pekerja dijaga sebaiknya. – PAHANGMEDIA