Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 JULAI 2021 : Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands memantau pergerakan dan aktiviti di dalam 231 kebun terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Tringkap di Cameron Highlands menggunakan dron.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands yang Pegawai Daerah Cameron Highlands YH. Dato’ Hj. Ishak Md Napis berkata pihaknya mendapat bantuan daripada pasukan dron PahangCorp.

Beliau berkata ini disebabkan masalah yang timbul daripada pekerja warga asing yang bekerja di kebun terlibat PKPD Tringkap.
“Masalah yang timbul adalah kebimbangan di kalangan pekerja asing yang tiada dokumen pengenalan diri untuk tampil melakukan saringan.
“Dan mereka dipercayai melarikan diri ke kebun-kebun lain sehingga menimbulkan kesukaran di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjejaki mereka ini.
“Setakat ini, pihak berkuasa melakukan sekatan jalan raya yang di buat blok-blok kebun untuk mengelakkan mereka melarikan diri selain mendapat kerjasama daripada pihak majikan yang melaporkan bilangan sebenar pekerja di kebun masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, seramai kira-kira 8,900 orang termasuk orang tua, kanak-kanak, warganegara dan bukan warga negara terlibat dengan PKPD ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 900 warga asing turut terlibat dengan kira-kira 700 orang daripadanya bekerja di 231 kebun yang terkesan, manakala seramai 120 pekebun terlibat dengan PKPD ini,” katanya.
Beliau berkata tahap pematuhan semua penduduk dan pekebun serta pekerja yang dikenakan PKPD Tringkap di Cameron Highlands adalah amat memuaskan.
“Tahap pematuhan antara penduduk dan pekebun serta pekerja di dua lokaliti terlibat iaitu Taman Puncak Tringkap dan Kebun Ulu Tringkap adalah amat memuaskan berhubung kerjasama untuk tindakan saringan dan kuarantin di kediaman masing-masing.
Menurut beliau lagi, kesemua penduduk terlibat PKPD telah menerima bantuan makanan yang disalurkan oleh pihak PKOB dengan kerjasama pihak JKKB serta NGO.
Beliau berkata, setakat hari ini, Cameron Highlands mencatatkan empat kes baharu dengan 135 kes aktif dan tiada penularan kluster baharu direkodkan dan kes-kes aktif kini di bawah seliaan dan kawalan ketat Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands. -PAHANGMEDIA