Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan sumbangan bantuan tunai peruntukan khas YAB Menteri Besar Pahang kepada imam, bilal, siak rawatib, guru Kafa, guru tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar secara 'drive thru' di Dewan Terbuka Dataran Sri Ketumbit, hari ini.

1,382 TENAGA PENGAJAR AGAMA TERIMA BANTUAN TUNAI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

TEMERLOH, 05 JULAI 2021: Seramai 1,382 orang imam, bilal, siak rawatib, guru Kafa, guru tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar di negeri ini menjadi kumpulan sasar yang mendapat perhatian dan menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan tunai melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM 276,400 itu diagih secara berperingkat sejak 24 Jun lalu.

“Kumpulan sasar (agama) ini turut diberi perhatian kerana dalam situasi Covid ini mereka terkesan kerana tugasan mereka berkurangan malah ada yang tiada tugas langsung.

“Jadi YAB Menteri Besar Pahang meminta saya mengenalpasti kumpulan ini kerana beliau sendiri mendapat permintaan dan bersetuju untuk memberi bantuan tunai sebanyak RM200 bagi setiap individu,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Beliau hadir menyampaikan sumbangan bantuan tunai peruntukan khas YAB Menteri Besar Pahang kepada imam, bilal, siak rawatib, guru Kafa, guru tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar secara ‘drive thru’ di Dewan Terbuka Dataran Sri Ketumbit, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Haji Zakaria Mohamad, Kadi Daerah Temerloh, Ustaz Abdul Aziz Abdul Karim serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Cik Nadimah Hilwah Mohd Saifuddin.

Sementara itu, beliau bagi pihak kumpulan agama ini sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana memperkenalkan Bantuan Prihatin Pahang sehingga mencari kumpulan sasar tanpa perlu menunggu mereka mengangkat ‘bendera putih’.

“Terkini, perhatian turut diberikan kepada pekerja-pekerja dewan makan dan kantin (bukan pengusaha) yang terkesan kerana telah kehilangan kerja.

“Bantuan Fasa 3 juga telah diumum, kumpulan-kumpulan sasar kita cari hingga ke ajar umbi tidak kira siapa asalkan mereka dapat dibantu sewajarnya,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau bersyukur di atas keprihatinan dan ‘hati putih’ milik Menteri Besar Pahang yang digerakkan untuk terus membantu rakyat yang memerlukan tanpa menghiraukan segala isu dan masalah yang melanda di sekelilingnya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download