NGO SOKONG USAHA KERAJAAN PAHANG BANTERAS KEBUN DURIAN HARAM

Oleh: Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 5 JULAI 2021: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Negeri Pahang menyokong usaha Kerajaan Negeri memusnahkan tanaman durian secara haram dan menyita barang termasuk kenderaan serta membuat tangkapan terhadap mana-mana individu yang menceroboh tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam.
 
Pengerusi Persatuan Belia Pamah Rawas Ulu Dong (PBPRUD), Encik Nur Amin Nor Azahar berkata, persatuan itu menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap ketegasan tindakan yang diambil.
 
“Kami mengharapkan isu pencerobohan tanah haram khususnya di Negeri Pahang dapat diselesaikan dengan kadar segera terutama di Daerah Raub.
 
“Pertubuhan ini juga mengharapkan Kerajaan Negeri terus konsisten dan tegas tanpa berganjak ke belakang walau apa terjadi terhadap provokasi atau tekanan yang dihadapi daripada pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
 
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia FELDA Negeri Pahang, Encik Ahmad Faizal Sulaiman berkata, sokongan penuh diberikan kepada Kerajaan Negeri terhadap usaha tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap individu yang telah menceroboh tanah secara haram di negeri ini.
 
“Kami sentiasa menyokong penuh penguatkuasaan ini demi kepentingan dan masa hadapan rakyat di negeri Pahang,” katanya.
 
Semalam, seramai 18 individu yang disyaki pekebun durian haram ditahan kerana telah memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau kepada anggota Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download