PKPD DILAKSANAKAN SETELAH KES TERKUMPUL POSITIF COVID-19 DI KUANTAN 5,017 KES

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 04 JULAI 2021: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Kuantan dilaksanakan setelah kes terkumpul positif COVID-19 setakat 1 Julai lepas di Daerah Kuantan adalah sebanyak 5,017 kes.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata, taburan kes di mukim Kuala Kuantan dalam tempoh 28 hari juga menunjukkan peningkatan.

“Bilangan kumulatif kes bagi mukim Kuala Kuantan 1 selama 14 hari bermula 4 Jun sehingga 18 Jun adalah sebanyak 120 kes namun meningkat kepada 472 kes pada 19 Jun hingga 1 Julai.

“Bagi mukim Kuala Kuantan 2 pula jumlah kumulatif kes bermula 4 Jun sehingga 18 Jun adalah 376 kes dan pada 19 Jun hingga 1 Julai kes menurun kepada 302 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Jika dilihat jumlah keseluruhan kes di kedua-dua mukim pada 4 Jun sehingga 18 Jun adalah sebanyak 496 kes, namun ia meningkat kepada 774 kes pada 19 Jun sehingga 1 Julai iaitu peningkatan kes sebanyak 56 peratus,” katanya.

Beliau berkata PKPD yang dijalankan di Kuantan bermula semalam sehingga 17 Julai ini, bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan dalam daerah ini.

“Terdapat peningkatan kes yang ketara dalam tempoh 14 hari di mukim Kuala Kuantan dimana 774 kes positif telah dikesan daripada 6,472 individu yang disaring iaitu 12 peratus.

“PKPD ini juga bagi memastikan warga Kuantan yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada di Mukim Kuala Kuantan dan tidak menjangkiti komuniti di luar, selain untuk menjalankan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.

“Ia juga bagi mengenalpasti, melaksanakan pengasingan dan saringan bagi kontak rapat, dan untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan-kawasan lain luar dari Mukim Kuala Kuantan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download