Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 4 JULAI 2021 : Sebanyak 2,100 kotak Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kerajaan Negeri Pahang COVID-19 Fasa 2 telah diagihkan kepada 21 Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR) di kawasan Dewan Negeri Pulau Tawar di Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris berkata, setiap JKKK dan JKKR menerima 100 kotak BPP yang akan diagihkan kepada semua penduduk yang memerlukan ketika pandemik COVID-19 ini yang telah bermula 26 Jun lalu.
“Agihan telah dimulakan sejak 26 Jun lalu kepada JKKK Kampung Tradisi melibatkan Kampung Perak, Kampung Bukit Rang, Kampung Perian, kampung Kedondong, Kampung Kelola, Kampung Bukit Nikmat Utara, Kampung Bukit Nikmat Hilir dan Kampung Durian Hijau.
“Manakala agihan kepada JKKR yang melibatkan kawasan rancangan FELDA termasuklah FELDA Jengka 8 hingga 10, FELDA Jengka 12, 13 dan 24, FELDA Sungai Tekam, FELDA Sungai Tekam Utara, FELDA Kota Gelanggi 1 hingga 4 dan FELDA Lepar Utara 3 pula telah dilakukan pada 3 Julai iaitu semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.
Puan Khairun Nissa berkata, agihan telah dilaksanakan oleh Pejabat Dewan Negeri Pulau Tawar yang diuruskan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, YH. Dato’ Zukarmi Abu Bakar.
Menurut Dato’ Zukarmi, pihaknya terlebih dahulu menerima senarai nama penerima sebelum kotak bantuan diedarkan bagi mengelakkan pertindihan penerima yang berkelayakan.
Katanya, seluruh kepimpinan JKKK dan JKKR di kawasan Dewan Negeri Pulau Tawar bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid 19. – PAHANGMEDIA