Oleh : Fairus Mohd
PEKAN, 03 JULAI 2021 : Semua Jawatakuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) disaran mewujudkan ‘Food Bank’ bagi membantu mereka yang terjejas meneruskan kehidupan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, langkah berkenaan akan dapat meringankan beban mereka yang amat memerlukan terutamanya pada musim pandemik ini.
“Saya berharap lebih banyak lagi kampung terutamanya dalam kawasan Bebar dapat mengambil langkah sama bagi memastikan penduduk yang terjejas teruk ini dapat kita bantu dengan sebaik-baiknya untuk meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga mereka.

“Saya juga berharap semua jawatankuasa masjid, surau, Pengerusi JKKK, Penghulu dan kepimpinan setempat dapat meningkatkan peranan mereka, berbincang dan mewujudkan Food Bank untuk bersama-sama Kerajaan Pahang dalam usaha yang dilakukan demi membantu rakyat yang terjejas,” katanya.
Beliau ditemui ketika melancarkan ‘Food Bank’ atau dikenali sebagai ‘Gerobok Rezeki’ usaha sama Pejabat Ahli Dewan Negeri Bebar dan Pejabat pengerusi JKKK Kampung Permatang Pauh diketuai Ustaz Mohd Nasrul Hakim Mat Daud dalam menyediakan bekalan makanan kepada sesiapa sahaja penduduk yang memerlukan.
Mereka yang memerlukan boleh terus datang ke sini untuk mengambil bekalan makanan seperti beras, tepung, gula, telur, minyak masak, kicap, sardin, mi segera dan sebagainya.
Sementara itu, beliau berharap agar mereka yang memerlukan bantuan agar tidak segan untuk berhubung dengan ketua kampung masing-masing atau datang ke Pusat Khidmat Rakyat contohnya saya sendiri di Dun Bebar untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Kita mahu mereka tahu bahawa mereka yang menghadapi kesusahan ini tidaklah keseorangan kerana kita sentiasa bersedia membantu mereka mengatasi kesulitan yang dihadapi,” katanya. -PAHANGMEDIA