KUANTAN, 1 JULAI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan tambahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 Fasa 3 bernilai RM6.03 juta untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, bantuan ini dalam bentuk pengagihan bakul makanan yang terdiri daripada pelbagai bahan makanan keperluan harian, kepada mereka yang terlibat.
“Lanjutan kepada sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar Fasa 1 dan Fasa 2 bernilai RM17.10 juta sebelum ini, sukacita saya umumkan bantuan lagi RM6.03 juta di bawah Fasa 3 pula.
“Di bawah Fasa 3 ini, tumpuan ialah kepada pelbagai golongan rakyat lagi termasuk kumpulan penjaja yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agihan akan diuruskan oleh PBT-PBT berkaitan.
“Turut akan menerima bantuan di bawah Fasa 3 ini ialah nelayan yang berdaftar di Pahang serta operator dan pekerja kantin dan dewan makan asrama sekolah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu, bantuan kali ini juga ialah tambahan kepada bantuan sama yang telah disalurkan sebelum ini menerusi Pusat-Pusat Khidmat Dewan Negeri, bagi menampung keperluan mana-mana golongan atau individu yang sangat terkesan dengan COVID-19.
“Dengan bantuan di bawah Fasa 3 selain Fasa 1 dan 2 sebelum ini bermakna, Kerajaan Negeri berbelanja kira-kira RM23.13 juta menerusi BPP COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 12 Mei 2021,” katanya,
Katanya lagi, keputusan Kerajaan Negeri menambahkan lagi bantuan ini ialah kerana sikap mengambil kisah dan mengambil beratnya ke atas masalah rakyat hadapi khususnya yang terkesan teruk dengan COVID-19 serta arahan-arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendungnya.
“Sungguh pun bantuan ini dianggap kecil bagi sesetengah pihak namun kepada yang benar-benar terkesan, ia tentu sesuatu yang melegakan dan Kerajaan Negeri bersyukur dapat turut meringankan beban mereka.
“Sesungguhnya juga bak kata perbilangan; sedikit tanda ingat, banyak tanda ada,” katanya. – PAHANGMEDIA