KUANTAN, 01 JULAI 2021 : Dua kematian baharu direkodkan hari ini di negeri ini dengan satu daripadanya melibatkan kes Kluster Rantau Kenanga.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 133 kes.

“Kes ke-132 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 60 tahun dari Taman LKNP, Jalan Bukit Setongkol, Kuantan.
“Manakala kes ke-133 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 77 tahun dari Felda Jengka 1, Maran. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.
Beliau berkata terdapat enam kluster aktif mencatatkan pertambahan kes pada hari ini sebanyak 105 kes.
“…iaitu Kluster Pasar Kemunting (pertambahan 65 kes dengan jumlah keseluruhan 387 kes), Kluster Indera Mahkota 16 (pertambahan 8 kes dengan jumlah keseluruhan 199 kes), Kluster Lorong Empat Jerantut (pertambahan 10 kes dengan jumlah keseluruhan 77 kes).
“Kluster Rantau Kenanga (pertambahan 15 kes dengan jumlah keseluruhan 420 kes), Kluster Kampung Lada (pertambahan 4 kes dengan jumlah keseluruhan 37 kes) dan Kluster Meranti Indah (pertambahan 3 kes dengan jumlah keseluruhan 19 kes),” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 1,445 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di dan empat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini manakala 202 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.
“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 28 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 19 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan sembilan (9) kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan 16 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 178 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 17 kes merupakan warganegara asing.
“Sebanyak 192 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, satu (1) kes import (Selangor) dan dua (2) kes OKT. Terdapat 108 kes diperolehi daripada saringan kluster, 67 saringan kontak rapat, 16 saringan bergejala, satu (1) saringan pekerjaan, dua (2) saringan OKT dan satu (1) saringan pra perkahwinan,” katanya.
Sebanyak 195 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 13,861 kes. -PAHANGMEDIA