COVID-19 : TIGA KEMATIAN BAHARU HARI INI LIBATKAN KLUSTER RANTAU KENANGA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 30 JUN 2021 : Terdapat tiga kematian baharu dilaporkan di negeri ini hari ini dengan kesemuanya melibatkan Kluster Rantau Kenanga.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), YH. Dato’ Dr. Haji Bahari Dato’ Tok Muda Che Haji Awang Ngah dalam satu kenyataan media berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Pahang meningkat kepada 131 kes.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr Haji Bahari Dato’ Tok Muda Haji Che Awang Ngah

“Kes ke-129 merupakan seorang perempuan berbangsa Melayu berumur 52 tahun dari Felda Tembangau 3, Bera. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.

“Kes ke-130 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 76 tahun dari Kg Kenangan, Lanchang, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.

“Manakala kes ke-131 merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 49 tahun dari Taman Sri Semantan Permai, Temerloh. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,287 kes positif COVID-19 sedang dirawat di lapan hospital di dan empat Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini, manakala 189 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

“Berdasarkan jumlah ini, terdapat 26 kes COVID-19 positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 16 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS) dengan lapan (8) kes memerlukan bantuan mesin pernafasan,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan pada hari ini, sebanyak 197 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 13 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 209 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan dan satu (1) kes import (Selangor). Terdapat 143 kes diperolehi daripada saringan kluster, 58 saringan kontak rapat, lapan (8) saringan bergejala dan satu (1) saringan pekerjaan.

“Terdapat sembilan (9) daerah mencatatkan pertambahan kes. Kes tertinggi dicatatkan di daerah Kuantan (90 kes), diikuti Temerloh (42 kes), Jerantut (35 kes), Bera (16 kes), Bentong (9 kes), Pekan (8 kes), Maran (5 kes), Cameron Highlands (4 kes) dan Lipis (1 kes),” katanya.

Sebanyak 210 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Negeri Pahang telah mencecah ke angka 13,666 kes. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download